Tuesday, June 10, 2008

KEUNTUNGAN MINYAK DIBAZIR - PRESIDEN PAS


Intan Abdullah Mon Jun 09, 08 8:09:53 am MYT

KUALA LUMPUR, 9 Jun (Hrkh) - Rakyat merasa tertipu dengan manifesto kerajaan Barsian Nasional (BN) sebelum ini melalui pengumuman oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak sewaktu melancarkan manifesto pilihan raya umum BN pada 25 Februari lalu.


Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang berkata kerajaan BN perlu mengulangkaji tindakan salah yang telah dibuat seterusnya membetulkan situasi dengan segera bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat sekarang ini.


"Kerajaan BN juga disaran agar membuat kerjasama dengan negara-negara Islam yang lain untuk menangani masalah kenaikan harga minyak memandangkan kebanyakan negara Islam memiliki sumber galian tersebut," ujarnya pada sidang media pelancaran kempen mengumpul tandatangan bantahan kenaikan harga barang oleh Pemuda PAS Wilayah Persekutuan di pejabat Agung PAS semalam.


Tegasnya, tindakan kerajaan menaikkan harga minyak adalah tidak tepat dengan sifat negara yang sebelum ini pernah mendabik dada dengan menyatakan negara ini sedang maju ke depan.
"Minyak merupakan suatu hasil negara yang boleh menguntungkan serta dimanfaatkan dengan sebaiknya.


"Namun, keuntungan daripadanya telah dibazirkan kepada projek mewah yang telah ditiriskan dengan amalan penyelewangan dan rasuah yang berleluasa," ujarnya lagi.


Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzzaman Mohamad berkata kerajaan masih mempunyai pilihan untuk mengelakkan kenaikan harga minyak di pasaran.
"Kerajaan sepatutnya mengurangkan perbelanjaan keraian, elaun-elaun ahli-ahli parlimen serta kos pentadbiran," katanya pada sidang media yang sama.


Ujarnya, kerajaan boleh berbelanja sehingga RM10 juta ketika melaksanakan majlis pelancaran projek Wilayah Pembangunan Ekonomi Koridor Utara (NCER) tetapi pada masa yang sama tiada peruntukan untuk mengekang kenaikan harga minyak.


"Kita melancarkan gerakan untuk mengumpulkan tandatangan sokongan rakyat untuk diserahkan kepada Perdana Menteri.


"Pada masa yang sama, kita juga bersama dengan badan perhubungan PAS wilayah akan mengadakan siri-siri demonstrasi bersama rakyat sehingga 12 Julai ini," katanya.


Pemuda PAS Wilayah Persekutuan juga katanya, menyarankan agar kerajaan memansuhkan tol-tol di seluruh negara agar ianya tidak membebankan rakyat hingga menyebabkan hasil cukai Petronas dibazirkan untuk menampung kos operasi berganda oleh konsesi yang sedia ada.


"Kerajaan BN juga perlulah memecat Menteri-menteri dan Timbalan Menteri yang terlibat dengan skandal penyalahgunaan dan pembaziran dana negara hingga menyebabkan beban hutang negara meningkat dan membebankan rakyat," ujarnya. - mks. _

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

JOM EXCHANGE LINK