Friday, August 8, 2008

Setiap Nafas yang Aku Sedut dan Lepaskan

www.iLuvislam.com
oleh : kahfi


Pagi ni kuliah hari kedua bagi semester kedua ni dibatalkan, aku pergi ke perpustakaan mencari bahan-bahan rujukan untuk tugasan pertama yang diterima semalam. Suasana muram menyelubungi diri. Terasa lemah dan tidak bersemangat dengan permasalahan. Semasa melangkah masuk ke ruang komputer hanya terdapat 3 orang pelajar yang menggunakan komputer dalam satu ruang yang cukup besar. Suasana lenggang dan sunyi seketika. Aku meneruskan langkah yang lesu. Lebih kurang setengah jam berlalu aku berehat seketika, terkenang seketika masa lampau. Tak sangka, empat tahun yang lepas aku dah pun melangkah naik ke atas pentas dewan konvokesyen tetapi hari ni aku masih belajar di sebuah IPTA. Ya, semuanya dengan izin Allah dan bila aku merenung kembali dalam empat tahun yang lepas, banyak perkara besar yang berlaku terhadap persekitaran dan yang terjadi dalam pengalaman hidup aku.

Kalau empat tahun yang lepas aku masih tidak tahu apa yang akan berlaku pada empat tahun yang akan datang dan merasakan ianya satu jarak yang bertempoh sederhana dan penuh dengan angan-angan untuk membuat itu dan ini, tetapi kemudiannya, empat tahun selepas itu di mana aku berada sekarang ini?

Aku merasakan bahawa empat tahun yang lepas adalah seperti sebuah mimpi. Mimpi yang penuh dengan angan-angan dunia. Hari ini aku masih menyedut dan melepaskan nafas. Malah aku masih diberikan kesempatan oleh Allah untuk bersatu dengan jasad ini. Apa pula akan berlaku 4 tahun akan datang? Mungkin aku sudah beristeri atau mempunyai anak dan bermain dengan mereka dalam suasan gembira? Ataupun ketika itu aku sudahpun dibalut dengan kemas dan telah disandarkan pada dinding-dinding dan lantai tanah? Kuasa Allah. Telahpun dirancangNya dengan terperinci dan tercatat dalam kitabNya di Luh Mahfuz.


Pun begitu, hidup ini adalah satu keperluan untuk diteruskan. Memang ada ketikanya berasa susah dan hilang semangat tapi bila ternampak kawan-kawan seperjuangan dalam kerja agama, wajah ibu yang tenang dan ayah yang tidak putus-putus menyumbangkan tulang empat keratnya untuk membesarkan anak-anak, aku kembali tersenyum. Kekuatan ini muncul kembali. Hidup adalah sesuatu yang harus diteruskan dan perjuangan dalam agama pula mesti sebati dalam arus nafasku. Segalaya untuk didedikasikan kepadaMu ya Allah. Hidup yang tiada kesusahan bukanlah sebuah kehidupan.

Aku bangun dan melangkah keluar dari ruang komputer, selepas ini masih ada kuliah tetapi langkah keluar ini berbeza berbanding semasa melangkah masuk tadi… Aku tersenyum.. Nafas ini... Jasad ini... Hanyalah untukMu Ya Allah. Setiap masa, setiap detik dan saat yang berlalu malah nafas yang aku sedut dan aku lepaskan ini, aku harap ia dapat terus mengingatkan kepada kekuasaanMu.

Ya Allah, bantulah aku untuk terus berjuang di jalanMu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

JOM EXCHANGE LINK