Saturday, September 13, 2008

16 September sekadar episod pertama

M Faqih
Thu | Sep 11, 08 | 6:19:10 pm MYT

16 SEPTEMBER 2008. Apa istimewanya tarikh tersebut. Ada orang kata tanggal keramat yang menggusar dan meresahkan. Tarikh itu bersamaan 16 Ramadan 1429.
Iklan




Ini bermakna umat Islam di Malaysia sudah lebih separuh bulan berpuasa. Maka doa qunut kelazimannya dibaca pada solat witir di akhir Tarawih. Bagi kelompok yang berada di posisi Pakatan Rakyat, mungkin ada khabar gembira untuk mereka.

Sebaliknya kelompok feudal yang masih mempertahankan ideologi Barisan Nasional (BN) resahnya sudah menjalar ke seluruh urat nadi.

Hari ini rakyat seperti berteka teki dengan tarikh itu. Gosip politik yang dicetus Dato� Seri Anwar Ibrahim seakan-akan bukan lagi sekadar igauan, biar pun Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali dan anggota parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali menganggap ia tidak menjadi kenyataan.

Seperti kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, tarikh itu tidak lebih sebagai soal teknikal.

Sepatutnya persoalan seumpama itu dibangkit mereka yang sudah tenggelam dengan resah dan bukannya dari kelompok yang sama. Bukankah dilabel orang seperti mahu mengejar publisiti.

Ini kerana fenomena 16 September sudah meluas diperkatakan. Menjadi sebutan di belantara, sungai, laut, udara dan darat. Bukan lagi sekadar rakyat Malaysia yang menggomelnya, sebaliknya sudah menjadi buah mulut rakyat di negara jiran.

Tidak salah kalau dikatakan kelihatan 16 September seakan-akan 11 September 2001 yang melakari wajah baru politik dunia.

Tanggal 16 September adalah permulaan mahu melakar lanskap baru di Malaysia. Tentunya ramai belum lupa peristiwa 11 September, di mana empat serangan berlaku terhadap tempat paling strategik di Amerika Syarikat.

American Airlines dan United Airlines meranapkan sama sekali menara World Trade Center (WTC). Sebuah lagi pesawat American Airlines hampir memusnahkan Pentagon.

Malangnya sebuah lagi pesawat milik United Airlines tersasar sebelum mengena sasarannya. Dalam peristiwa itu kira-kira 3,000 penghuni WTC hilang nyawa.

Hari ini dunia sudah memperakui tragedi 11 September. Ekoran peristiwa hitam itu, Amerika Syarikat dan sekutunya seperti diberi lesen untuk melanyak habis-habisan bumi Afghanistan dan Iraq.

Peristiwa itu penuh dengan noda hitam, yang langsung mempersyaitan nilai-nilai kemanusiaan. Maka kalau disamakan 11 September dan 16 September, adakah tragedi kemanusiaan juga berlaku.

Jaminan mudah diberi tentunya tidak, kecuali Mageran dipergunakan bagi mempertahankan hegemoni BN. Ini kerana sentimen perkauman mulai ditiup kencang dengan dimulakan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Dato' Ahmad Ismail.

Bagaimanapun ramai berhujah tidak semudah itu bagi Anwar membentuk kerajaan baru, dan Dato� Seri Abdullah Ahmad Badawi juga tidak semudah itu menyerah kalah.

Persoalan yang ditimbulkan siapa pula timbalan kepada Anwar, adakah orang Melayu atau bangsa lain. Selain ada desakan mahu PAS menggugurkan tuntutan negara Islam.

Ini persoalan yang begitu rumit untuk diselesaikan.

Siapa yang melompat

Seorang bekas wakil rakyat di Kelantan berkata, sekiranya anggota parlimen BN yang dikatakan bakal meninggalkan parti itu lebih ramai dari kelompok bukan Melayu, sudah tentu situasi kabinet baru akan menjadi seperti posisi Exco kerajaan Perak sekarang.

"Kalau yang akan melompat itu ramai anggota parlimen Melayu, maka kabinet baru masih mengekalkan ketuanan Melayu.

"Tak kan anggota parlimen yang dikatakan akan melompat itu tidak meletak harga tinggi sebagai upah kerana sanggup korbankan BN," katanya.

Malah kata tokoh agama itu, seandainya ramai bukan Islam berada dalam kerajaan baru, lebih baik kerajaan BN yang ada sekarang terus kekal status quonya.

Sarjana Sains Politik, Wan Nik Wan Yusof berkata, biar apa pun yang berlaku sekarang Anwar telah berjaya melonjat diri. Namun katanya, gerakan bagi menggantikan kerajaan BN begitu jelas berlaku di Permatang Pauh 26 Ogos lalu.

Secara jelas lagi nyata seramai 31,195 daripada 47,258 pengundi di Permatang Pauh mahukan Anwar menghayung langkah ke Putrajaya.

Sedangkan hanya 15,524 pengundi di situ mahu kerajaan BN yang ada sekarang dibiarkan usang. Ini bermakna tiga daripada empat penduduk di Permatang Pauh mahukan Anwar.

Mereka sama sekali tidak menghiraukan Abdullah yang mewakilkan misi politiknya kepada Dato� Arif Shah Omar Shah ketika berdepan dengan Anwar, 26 Ogos lalu.

Secara holistik, nampaknya Abdullah seperti ditolak rakyat Pulau Pinang yang juga tempat tumpah darahnya.

Bagi memperlihatkan keghairahan peralihan kuasa 16 September, sebuah laman web kl.com memaparkan 90 peratus pengunjung yakin Anwar mampu membentuk kerajaan baru.

Gempak Anwar ditakuti

Ketika diaju soalan yang sama kepada seorang pegawai kanan di Pejabat Menteri Besar Kelantan, beliau berkeyakinan gempak Anwar bakal menjadi realiti biar pun bukan 16 September ini.

Maka beliau membilang isu-isu yang sudah merekahkan gabungan BN. Antaranya kenyataan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera yang menganggap masyarakat Cina hanya menjadi penumpang di negara ini.

Selain itu isu keris Hishamuddin Hussien yang banyak mengguris perasaan bukan Melayu.

Rasuah politik yang diakui Lembaga Disiplin Umno, Tengku Ahmad Rithauddeen tidak kurang menggusarkan.

Begitu juga dengan beberapa pemimpin kanan MCA dan Gerakan sudah isytihar keluar parti. Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat Gerakan, Dr Toh Kin Woon mengumumkan keluar parti berkuatkuasa serta merta, 18 Ogos lalu.

Sebelum itu, bekas Timbalan Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew bukan sahaja keluar parti sebaliknya mengheret 2,078 pengikut menyertai KeADILan.

Tidakkah itu semua boleh menambah keyakinan ramai terhadap cita-cita Anwar dan Pakatan Rakyat.

Jadi, lafaz sumpah Dato� Seri Najib Razak tidak kenal Altantuya dan sumpah laknat Saiful Bukhari Azlan sudah tidak mampu menghalang kemaraan Anwar.

Begitu juga dengan penurunan petrol sekadar 15 sen dan bonus RM1,000 bagi kakitangan awam juga kelihatan tidak mampu membantu Abdullah.

Maka ilmuan Islam, Farabi menjelaskan 12 ciri menjadi ketua negara dalam sistem politik Islam. Antaranya memahami isu-isu, baik ingatan, bijaksana, mampu berhujah, cinta pada ilmu, cintakan kebenaran, memiliki jiwa besar, tidak meterialistik, kuat anti kezaliman dan kuat azam serta berani.

Siapa yang memiliki ciri-ciri tersebut Abdullah, Najib atau Anwar. Anda mampu menduganya. - mj _

NOTES : amik kat harakahdaily.net

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

JOM EXCHANGE LINK