Saturday, September 13, 2008

Nik Aziz gembira kemasukan Mahathir akan lemahkan Umno

Irwan Muhammad Zain
Fri | Sep 12, 08 | 11:04:39 am MYT

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Hrkh) - Penyertaan semula Tun Dr Mahathir Mohamad ke dalam Umno akan menguntungkan PAS dan Pakatan Rakyat kata Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Saya seronok kerana Dr Mahathir telah timbulkan kacau bilau dalam Umno," kata beliau.

Bernama melaporkan Mursyidul Am PAS itu berkata tindakan Dr Mahathir untuk menyerang Umno dari dalam merupakan "langkah yang terbaik".

Beliau diminta mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 6 September lalu bahawa mantan perdana menteri itu telah berhasrat menyertai semula Umno.

Tun Dr Mahathir menyuarakan hasrat untuk memohon menyertai semula Umno setelah meninggalkan parti itu selepas pilihan raya umum 8 Mac lepas kerana kecewa dengan kepimpinan sekarang.

Nik Aziz turut menjelaskan bahawa beliau tidak nampak logiknya bila Mahathir menyerang Umno dari luar.

"Bila beliau serang dari dalam itu betul dan saya seronok kerana ia dapat melemahkan Umno," kata beliau.

Mengulas mengenai tindakan menggantung keahlian Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Dato' Ahmad Ismail yang mengeluarkan kenyataan berbau perkauman, Nik Aziz berkata ianya seperti ada pilih kasih.

"Kalau orang lain sudah kena Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Nampak macam pilih kasih," kata beliau.

Nik Aziz juga berkata negara ini perlu bebas daripada pimpinan Barisan Nasional (BN) terutama Umno yang mengamalkan rasuah.

"Betul lompat parti tak bermaruah, tetapi dalam usaha Pakatan Rakyat nak bentuk kerajaan 16 September ini bagi mengantikan BN yang rasuah, soal maruah perlu diketepikan," kata beliau.

Beliau berkata menyelamatkan negara dari diperintah oleh kerajaan yang korup lebih bermaruah dari terus membiarkan ianya berlaku tanpa berbuat apa-apa. - mr _

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

JOM EXCHANGE LINK