Wednesday, October 15, 2008

Isu ISA hangat di Dewan Rakyat

Nyza Ayob
Tue | Oct 14, 08 | 6:25:47 pm MYT

Parlimen|KUALA LUMPUR, 14 Okt (Hrkh) - Isu mengenai penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) buat sekian kalinya kedengaran dalam perbahasan Bajet 2009 di Dewan Rakyat hari ini.
Iklan




"Bila kita bercakap mengenai ISA, antara orang yang pernah dikenakan Akta ini dengan orang yang belum kena tidak sama. Sungguh pun saya tidak pernah dikenakan ISA, tetapi saya tetap merasai akan kesan ISA ini. Prinsip keadilan Islam, kita berhempas pulas mempertahankannya.Dalam kes yang berlaku, ada bapa yang tidak dapat melihat anaknya sebelum anaknya menutup mata,"demikian ditegaskan Saifuddin Nasution (KeADILan-Machang) sewaktu menyangkal ucapan Mohd Fuad Zarkashi (BN-Batu Pahat).

Jelas Saifuddin, secara prinsipnya mengikut prinsip keadilan dalam Islam serta prinsip keadilan sejagat dalam soal ini, pertamanya orang dituduh itu diberitahu butiran pertuduhan ke atasnya, dia mesti dibawa ke mahkamah keadilan, terdapat hakim membicarakannya dan dia diberi peluang untuk mengambil peguam dalam mempertahankan dirinya.

"Sekiranya seseorang dijatuhkan hukuman salah, dia diberi peluang untuk membuat rayuan. Ini prinsip keadilan sejagat. Kita boleh mengadakan ISA bagi mententeramkan keadaan asal sahaja jangan disalahgunakan. Dalam kes yang berlaku terhadap mangsa ISA, bolehkah Yang Berhormat Batu Pahat bersetuju dahulu jika dilihat daripada prinsip keadilan sejagat ini,"? soalnya.

Sementara itu Mohd Fuad sewaktu menjawab persoalan Saifuddin itu menyatakan prinsip keadilan sejagat juga mengutamakan kepentingan ramai berbanding kepentingan individu.

"Untuk mententeramkan keadaan disebabkan seorang yang boleh menyebabkan keadaan lebih huru-hara, kepentingan ramai mengatasi kepentingan individu. Sebab itu saya katakan, asalkan dia tidak teraniaya sewaktu dalam tahanan, dia perlu ditahan untuk kepentingan umum. Jika dia berada di luar dia boleh menyebabkan provokasi yang menjadikan keadaan lebih huru-hara,"katanya.

Kenyataan Mohd Fuad itu bagaimanapun disangkal Sivarasa Rasiah (KeADILan-Subang).

Jelas Sivarasa, prinsip sejagat yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan mana-mana agama sebagai nilai asasi tidak boleh menghukum tanpa bukti sebagaimana individu yang dikenakan di bawah ISA.

"Batu Pahat juga menyebut Amerika mempunyai ISA. Amerika langsung tidak ada undang-undang ISA dalam bentuk yang kita ada. Apa yang digunakan di Kem Guantanamo bukan seperti ISA. Akta mereka hanya digunakan ke atas orang yang bukan warganegra Amerika. Tetapi itu juga kezaliman.

"Tetapi di negara kita, ada 'Kem Guantonamo'. Yang lebih teruk, kita tahan warganegara kita sendiri. Ini adalah pelanggaran hak asasi dan nilai agama,"katanya.

Sementara itu, Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) yang turut bangkit menyangkal mengenai isu tersebut menyatakan terdapat 'kecacatan' sebagaimana yang dinyatakan oleh Ahmad Fuad bahawa kepentingan 'public interest' bagi membolehkan penggunaan ISA itu.

"Batu Pahat tidak memberikan hujah terhadap apa yang telah dinyatakan oleh YB Machang. Prinsip Islam menyebut seorang itu tidak bersalah sehingga terbukti bersalah, melalui proses undang-undang di mana terdapat pendakwaan dan pembelaan di mahkamah terbuka dan dipertahankan oleh peguam untuk membela dirinya. Seterusnya berlaku penghukuman.

"Itu dari sudut pandangna Islam. Jika prinsip tersebut dicanggah untuk kepentingan 'public interest, jika ingin digunakan juga, 'public interest' itu mestilah 'establish' serta 'muktabar' sifatnya. Apakah YB Batu Pahat bersedia untuk menerima bahawa undang-undang yang ada di negara kita hari ini tidak mencukupi untuk mengawal dan mempastikan keselamatan 'public interest'? Apakah tidak mencukupi dengan Akta Hasutan atau OSA? Jika semua undang-undang ini digunakan saya rasa tidak perlu ISA,"tegasnya.

Mohamad Fuad sewaktu memberikan jawapannya menyatakan dalam isu ini jika digunakan Akta Hasutan,perbicaraan itu akan digunakan untuk membangkitkan kemarahan.

"Sebab itu saya katakan perlunya ISA ini. Ia tidak perlu dibicarakan,"katanya. - mks. _

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

JOM EXCHANGE LINK