Wednesday, October 15, 2008

Kubu Khir Toyo dikuasai Mukhriz

SHAH ALAM, 14 Okt: Harapan bekas Menteri Besar Selangor, Dato Seri Dr Muhd Khir Toyo yang menggunakan sentimen `kempen untuk anak tempatan’ mungkin tidak kesampaian berikutan beberapa bahagian Pemuda Umno yang menjadi 'kubu' kuat beliau menyokong calon lain bagi jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pusat.

Antara kubu kuat beliau, Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor mencalonkan anak bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Muhamad, Datuk Mukhriz Mahathir dalam satu pemilihan sengit pemuda bahagian tersebut pada 5 Oktober lepas.

Melihat kepada keputusan yang diperolehi dalam senarai baru Jawatankuasa Pemuda Umno bahagian, dikatakan kesemua yang menang dikatakan cenderung dan menjadi penyokong kuat kepada Dr Mohd Khir.

Bagaimanapun apabila undian untuk calon Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pusat di cadangkan dilakukan secara undi sulit telah menimbulkan pelbagai persoalan sejauhmana sokongan Dr Mohd Khir di peringkat akar umbi. Persoalan ini terjawab apabila pemuda Umno di peringkat akar umbi telah mengundi Mukhriz berbanding Ahli Majlis Tertinggi Umno ini.
Keputusan daripada 247 perwakilan pemuda adalah Mukhriz mendapat 109 undi, Dr Mohd Khir 93 undi dan seorang lain calon popular, Khairy Jamaluddin mendapat 46 undi. Keputusan yang juga dikatakan tidak berpihak kepada Naib Ketua Pemuda Umno Pusat ini juga tidak menjadi sebarang isu memandangkan Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor adalah kubu kuat Dr Mohd Khir.

Walaupun beberapa bahagian Pemuda Umno di negeri ini mencalonkan Dato Seri Dr Muhd Khir, hampir pasti keputusan Pemuda Umno bahagian Kuala Selangor akan menjadi ikutan kepada bahagian-bahagian Pemuda Umno lain yang belum mesyuarat.

Sebelum ini, pucuk pimpinan tertinggi Pemuda Umno Selangor telah mengarahkan kepada jawatankuasa Pemuda bahagian-bahagian Umno agar mengutamakan calon anak tempatan berbanding calon luar. Kenyataan media ini dikeluarkan oleh Ketua Pergerakan Pemuda Umno negeri, Abdul Shukur Idrus dan Bekas Ketua Pemuda Umno bahagian Kapar, Faizal Abdullah.

Ini bererti kesemua 22 bahagian Pemuda Umno negeri Selangor bakal mencalonkan Dr Muhd Khir yang akan bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Pusat. Bagaimanapun kelmarin Pemuda Umno negeri menafikan menerima arahan pucuk pimpinan parti supaya memilih Datuk Seri Dr Muhd Khir.

Beberapa Ketua Pemuda Pemuda Umno mengakui ada menasihatkan perwakilan mengambil kira calon tempatan sebelum mengundi tetapi bukan arahan mandatori yang perlu dipatuhi oleh mereka.

Dalam satu kenyataan kepada media, Ketua Pemuda Umno Kapar, Mohd Rosli berkata, bahagian itu tidak menerima arahan mewajibkan perwakilan memberi undi kepada Dr Muhd Khir sebaliknya pengundian dijalankan secara terbuka dan bebas.
“Memang betul kita meminta perwakilan mengambil kira calon tempatan kerana beliau seorang yang berani,” kata beliau.

Bagaimanapun mood Pemuda Umno seluruh negeri Selangor kini sukar diramal memandangkan isu anak tempatan sudah tidak menjadi releven lagi. Sehingga kini, Dr Muhd Khir mendapat 11 pencalonan selepas 72 bahagian pemuda Umno di seluruh negara selesai mengadakan mesyuarat. Tinggal 119 bahagian Pemuda Umno yang masih belum mengadakan mesyuarat lagi.
Persoalan yang timbul adalah layakkan Dr Muhd Khir bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Pusat? Kelayakan kouta untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno adalah 39 bahagian.
Posted by Siasah at 8:26 PM 19 comments

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

JOM EXCHANGE LINK