Sunday, October 19, 2008

NAJIB, MUHYIDDIN LAYAK TANDING 2 JAWATAN UTAMA UMNO

Ahad Oktober 19, 2008
NAJIB, MUHYIDDIN LAYAK TANDING 2 JAWATAN UTAMA UMNO

SEPAKAT... Anggota jawatankuasa Umno bahagian Segambut bersama para pewakilan sepakat mengangkat tangan mengundi Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebagai calon Timbalan Presiden Umno pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Segambut di Dewan Tun Dr. Ismail Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Mesyuarat juga sebulat suara menyokong dan mencalonkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak sebagai Presiden Umno.

KUALA LUMPUR Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini layak bertanding masing-masing bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno setelah mendapat pencalonan melebihi had kelayakan.

Sehingga pukul 7 malam ini, Najib mendapat 59 pencalonan daripada kesemua 15 bahagian Umno yang mengadakan mesyuarat hari ini.

Beliau merupakan calon tunggal untuk jawatan itu setelah 59 daripada 191 bahagian Umno mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing, sejak 10 Oktober lepas.

Muhyiddin pula menerima tambahan empat lagi pencalonan iaitu daripada Umno Bahagian Gerik, Lenggong, Ledang dan Bakri, menjadikan jumlah keseluruhan pencalonannya sebanyak 42.

Dua lagi calon jawatan Timbalan Presiden iaitu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut menerima pencalonan hari ini.

Mohd Ali menerima sembilan pencalonan baru dengan menjadikan jumlah pencalonan yang diterimanya sebanyak 12 manakala Muhammad kini memperoleh sejumlah lima pencalonan setelah menerima dua lagi pencalonan hari ini. Had kelayakan pertandingan bagi jawatan Presiden ialah 58 pencalonan manakala bagi jawatan Timbalan Presiden pula 39 pencalonan.

Sementara itu, bagi pertandingan peringkat Naib Presiden, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin telah melayakkan diri bertanding jawatan itu setelah mendapat 11 pencalonan baru, menjadikan jumlah pencalonan yang diterimanya sebanyak 28, iaitu melebihi had kelayakan 20 pencalonan. Sehingga kini, empat calon telahpun melayakkan diri dalam saingan merebut tiga jawatan Naib Presiden Umno, iaitu Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Mohd Khaled.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik pula merupakan muka baru yang dicalonkan untuk persaingan jawatan itu, yang akan turut ditandingi oleh 11 calon lain.

Abdul Rahim menerima empat pencalonan iaitu daripada Kuala Langat, Alor Gajah, Batu Gajah dan Bandar Tun Razak. Hishammuddin masih mendahului dengan mendapat 49 pencalonan, diikuti Ahmad Zahid (35) dan Mohd Shafie (28).

Ini diikuti oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar yang telahpun menerima 11 pencalonan dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (6).

Calon lain yang kekal dengan jumlah pencalonan yang diterima sebelum ini ialah bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim (5), Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim (5), bekas Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis (3), Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan (2) dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa (1).

Bagi Wanita Umno, Naib Ketuanya Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, yang sebelum ini menyatakan tidak berhasrat untuk bertanding merebut jawatan Ketua Wanita, menerima tambahan empat lagi pencalonan, menjadikan jumlah pencalonannya sebanyak 36.

Beliau menerima pencalonan untuk jawatan itu daripada Wanita Umno bahagian Gopeng, Kudat, Kepala Batas dan Tanjung.

Dengan ini, Shahrizat memerlukan tiga lagi pencalonan untuk melayakkan diri bertanding jawatan Ketua Wanita Umno yang memperuntukkan had kuota sebanyak 39 pencalonan.

Penyandang jawatan itu, Tan Sri Rafidah Aziz menerima sokongan daripada empat bahagian Umno lagi, menjadikan jumlah pencalonan yang diterimanya setakat ini sebanyak 75, dan begitu juga Shahrizat untuk jawatan Naib Ketua.

Gandingan Rafidah-Shahrizat menerima pencalonan masing-masing hari ini daripada Wanita Umno bahagian Parit Sulong, Pasir Salak, Ayer Hitam dan Pulai.

Bagi jawatan Naib Ketua, Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar Datuk Kamilia Ibrahim menerima dua pencalonan lagi iaitu daripada Kepala Batas serta Gopeng dan sehingga kini mengumpul 26 pencalonan.

Shahrizat dan Kamilia layak bertanding jawatan Naib Ketua Wanita Umno yang mensyaratkan calon mendapat 20 pencalonan.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said pula menerima satu lagi pencalonan daripada bahagian Tanjung, menjadikan jumlah pencalonannya sebanyak enam.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Maznah Mazlan menerima pencalonan pertama daripada Wanita Umno bahagian Kudat untuk membolehkannya menyertai saingan merebut jawatan Naib Ketua Wanita.

Bagi jawatan yang sama, Ketua Wanita Johor, Datuk Halimah Mohamed Sadique kekal dengan dua pencalonan manakala Exco Wanita Pusat, Dr Norraesah Mohamad pula satu pencalonan.

Sehingga kini, 103 daripada 191 bahagian Wanita Umno telah selesai mengadakan persidangan perwakilan masing-masing. Dalam saingan bagi sayap Puteri Umno, Ketua Puteri Umno Terengganu Senator Nordiana Shafie merupakan muka baru dicalonkan untuk jawatan Ketua Puteri oleh Puteri Umno Bahagian Kangar.

Nordiana, sebelum ini dicalonkan untuk jawatan Naib Ketua Puteri, memerlukan satu lagi pencalonan untuk melayakkan diri memandangkan kuota dua pencalonan ditetapkan untuk bertanding jawatan itu.

Ketua Penerangan Puteri Umno, Datuk Shahaniza Shamsuddin bagaimanapun terus mendahului senarai calon Ketua Puteri dengan menerima satu lagi pencalonan, kali ini daripada Puteri Umno bahagian Kulai menjadikan jumlah yang diterimanya sebanyak 43.

Pencabarnya Naib Ketua Puteri Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin kini mengumpul 39 pencalonan setelah mendapat sokongan daripada bahagian Rembau, Johor Baharu dan Arau hari ini.

Exco Puteri, Datin Ismalina Ismail dan Ketua Puteri Pulau Pinang Azlina Mehtab Mohd Ishaq pula masing-masing dua pencalonan, dengan Ismalina kini mendapat 20 pencalonan dan Azlina pula tujuh pencalonan.

Setiausaha Puteri, Bibi Sharliza Mohd Khalid kekal dengan 16 pencalonan.

Sementara itu, Anggota Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir semakin jauh meninggalkan pesaingnya Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamed Khir Toyo dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin bagi merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Mukhriz yang juga Exco pergerakan itu setakat ini memperoleh 64 pencalonan daripada 121 bahagian yang telah bermesyuarat sejak 9 Oktober.

Khairy sehingga kini memperoleh 34 pencalonan, Dr Mohd Khir (25) manakala Zahidi hanya memperoleh pencalonan tunggal daripada Padang Besar.

Anggota Parlimen Rembau itu hanya memerlukan empat lagi pencalonan untuk layak bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno manakala Dr. Mohd Khir pula memerlukan 13 lagi pencalonan.

Mukhriz memperoleh pencalonan daripada bahagian Jerlun, Besut, Kimanis, Alor Star, Cameron Highlands, Kota Melaka, Tasek Gelugor, Bukit Gelugor, Teluk Intan, Pagoh, Pasir Gudang, Kalabakan, Langkawi, Kuantan, Rasah, Jelebu, Jempol, Ipoh Barat, Lipis, Bentong, Tenggara, Padang Rengas, Subang, Kampar, Kota Belud, Tuaran, Permatang Pauh, Bagan.

Bahagian lain yang turut mencalonkan Mukhriz ialah Pokok Sena, Batu Pahat, Padang Serai, Setiawangsa, Simpang Renggam, Kulai, Tebrau, Bakri, Sepanggar, Beaufort, Gombak, Kuala Selangor, Merbok, Bukit Katil, Kuala Kedah, Pendang, Padang Terap, Kepong, Paya Besar, Lenggong, Tanjung Piai, Ranau, Setiu, Pasir Mas, Jerai, Sik, Baling, Titiwangsa, Putrajaya, Indera Mahkota, Pulai, Muar, Beluran, Jasin, Batu Kawan dan Parit Sulong.

Khairy pula dicalonkan bahagian Machang, Pengkalan Chepa, Ketereh, Silam, Bandar Tun Razak, Bagan Datoh, Beruas, Bachok, Raub, Rompin, Bagan Serai, Gelang Patah, Pontian, Parit Buntar, Kota Kinabalu, Johor Baharu, Bayan Baru, Keningau, Putatan, Alor Gajah, Sepang, Sekijang, Ledang, Rantau Panjang, Batu Gajah, Arau, Bera, Kuala Terengganu, Bukit Mertajam, Jerantut, Tanjung, Pensiangan, Libaran dan Jelutong.

Dr Mohd Khir mendapat pencalonan bahagian Tumpat, Kapar, Cheras, Taiping, Masjid Tanah, Mersing, Shah Alam, Hulu Langat, Kuala Langat, Nibong Tebal, Kinabatangan, Sungai Siput, Kemaman, Wangsa Maju, Tapah, Gerik, Bukit Gantang, Labis, Dungun, Kuala Krau, Kelana Jaya, Selayang, Petaling Jaya Selatan, Batu dan Serdang.

Jumlah minimum pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno ialah 38 dan Naib Ketua Pemuda pula 29. BERNAMA

NOTES : amik kat mstar online

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

JOM EXCHANGE LINK