GAZA CITY 3 Jan. – Tentera Israel melancarkan kira-kira 750 serangan ke atas Genting Gaza sejak 27 Disember lalu dan jumlah penduduk Palestin yang terkorban kini meningkat kepada sekurang-kurangnya 435 orang dengan 2,285 yang lain cedera.
Menurut pasukan perubatan Gaza, antara yang menjadi korban dalam serangan ke atas kawasan dengan kepadatan penduduk yang tinggi ini termasuklah 75 kanak-kanak dan 21 wanita.
Serangan oleh jet pejuang dan kapal perang Yahudi itu disasarkan ke atas bangunan kerajaan Hamas, rumah pegawai pergerakan itu dan masjid yang didakwa menyimpan senjata dan terowong rahsia yang digunakan untuk menyeludup senjata dan barangan.
“Kira-kira 750 serangan telah dilancarkan dan ia bertujuan mempertahankan rakyat Israel daripada serangan Hamas,” kata jurucakap tentera Yahudi.
Bedilan demi bedilan yang masuk hari kelapan hari ini dikatakan bertujuan menghentikan serangan roket oleh Hamas tetapi ia masih gagal mencapai objektifnya.
Pejuang Palestin masih tidak mengaku kalah dan setakat ini melancarkan kira-kira 500 serangan roket ke Israel sejak minggu lalu dan berjaya membunuh tiga orang awam dan seorang tentera Yahudi selain mencederakan puluhan lagi.
– AFP
No comments:
Post a Comment