Wednesday, May 21, 2008

Karpal terima nota ugutan, peluru hidup

KUALA LUMPUR 20 Mei - Pengerusi DAP, Karpal Singh hari ini menerima sepucuk sampul surat mengandungi nota ugutan berserta sebutir peluru hidup di pejabatnya di Jalan Pudu Lama di sini.

Sampul berwarna kuning itu diserahkan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali kepada kerani pejabat guaman tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari ketika Karpal tiada di pejabat berkenaan.

Karpal berkata, beliau hanya mengetahui hal itu apabila dimaklumkan oleh seorang keraninya melalui panggilan telefon kira-kira pukul 12.45 tengah hari ini.
"Selepas diberitahu, saya terus ke pejabat dan mendapati memang ada sebutir peluru serta nota ugutan ditujukan kepada saya.

"Saya seterusnya membawa nota ugutan dan peluru berkenaan kepada polis untuk membuat laporan mengenainya," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Menurutnya, nota ugutan itu antara lain memintanya supaya jangan mempersoalkan kuasa raja-raja Melayu dan ia adalah amaran pertama penghantarnya.
Tambah beliau, wajah suspek kurang dikenal pasti oleh keraninya kerana lelaki tersebut memakai topi keledar bercermin selain beredar cepat selepas menyerahkan sampul surat berkenaan.

"Lelaki itu beredar dengan menunggang sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan pejabat saya," katanya.

Selain itu, Karpal yang mengakui takut dengan peristiwa berkenaan tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan politik berdasarkan nota ugutan yang dihantar.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada hal tersebut berpunca daripada kenyataan beliau berhubung kes pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury sebelum ini.

"Saya tidak mahu komen mengenai perkara ini kerana ia dalam siasatan polis dan saya tidak mahu sentuh perkara itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini mengesahkan menerima laporan kes berkenaan.
"Polis akan menjalankan siasatan terperinci terhadap kes tersebut," jelasnya.V

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

JOM EXCHANGE LINK