Tuesday, June 10, 2008

Pakatan Rakyat akan turunkan harga minyak jika berjaya memerintah - Anwar

Intan Abdullah Sun Jun 08, 08 8:31:21 pm MYT

DAMANSARA, 8 Jun (Hrkh) - Pakatan Rakyat tetap dengan pendirian mereka untuk menurunkan harga minyak jika berjaya menumbangkan kerajaan Umno-BN dalam masa terdekat.

Kenyataan tersebut dibuat Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media di ibu pejabat KeADILan di Merchant Square hari ini.

"Saya tetap dengan pendirian saya sebelum ini, bahawa sebaik kerajaan Pakatan Rakyat ditubuhkan kita akan menurunkan harga minyak," katanya.

Pada masa yang sama, Anwar merasakan pemberian subsidi kepada rakyat bukanlah merupakan satu-satunya jalan penyelesaian dalam menangani kemelut kenaikan harga minyak.

"Saya tidak percaya pemberian subsidi minyak kepada rakyat boleh menyelesaikan masalah kenaikan harga minyak ini dalam jangka masa yang panjang.

"Kerajaan haruslah bijak dalam menggunakan sumber pendapatan negara dan mereka tidak boleh memaksa rakyat untuk menerima harga minyak yang tinggi secara mendadak.

"What kind of economy they're talking about (apa jenis ekonomi yang mereka (BN) perkatakan)," tegasnya.

Beliau yang juga merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan akan bertanding dalam pilihan raya kecil yang akan diadakan pada bila-bila masa dalam tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai proses lompat parti yang sedang berlaku, beliau menganggap ianya mendapat sambutan yang sangat menarik daripada ahli-ahli Parlimen BN.

"Saya mendapati ianya sebagai 'more attractive' dengan sambutan yang sangat menggalakkan," ujarnya.

Menjawab soalan pemberita mengenai aktiviti beliau sewaktu kunjungan ke Manila baru-baru ini, Anwar mengaku bahawa beliau telah mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen BN daripada Sabah dan Sarawak ketika itu.

Bahkan beliau turut menyatakan bahawa terdapat lebih daripada 30 ahli parlimen BN yang dijangka akan 'menyeberang' kepada Pakatan Rakyat dalam usaha menumbangkan BN.
Sementara itu, beliau turut mengumumkan perlantikan beberapa ahli majlis Pimpinan Tertinggi KeADILan dan kemasukan ahli baru.

Mereka terdiri daripada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Dr Mohd Noor Manuty; bekas Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Cikgu Nordin Mahmud; bekas Pengerusi Perhubungan KeADILan Kelantan, Nik Mahmood Nik Hassan; Adun Sri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar, Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian dan bekas duta, Dato' Yeop Adlan.

"Kami juga mengalu-alukan kemasukan bekas timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Dato' Dr Haji Mohd Adam Harun, bekas Timbalan Ketua Bahagian Umno Mentakab, Dato' Mat Lazim Derani, bekas Exco Wanita MCA pusat, Ling Lae Feei dan pengasas Tafe kolej, Dr M Raken," katanya lagi.

KeADILan juga katanya menerima penyertaan lebih 50,000 keahlian baru yang sebahagian daripadanya terdiri daripada bekas ahli Umno, MIC dan MCA.

Turut hadir Presiden KeADILan, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, dua Naib Presidennya, Dr Lee Boon Chye dan Azmin Ali, Syed Husin Ali, Pengarah Strategik, Saifudin Nasution dan Ketua Penerangan, Tian Chua.

Sidang media tersebut diadakan sebaik selesai mesyuarat pimpinan KeADILan dengan ahli-ahli Parlimen KeADILan.- wann/mks._

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

JOM EXCHANGE LINK