Tuesday, July 8, 2008

Sunyi senyap Kedah sebenarnya berisi

Bashir Ismail Thu Jun 26, 08 10:24:26 pm MYT

Sejak mengambil alih-pemerintahan Kerajaan Negeri Kedah selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu, kerajaan baru yang diterajui PAS telah berjaya melaksanakan perubahan-perubahan mengikut keadaan semasa mahupun yang telah dijanjikan dalam manifesto pilihan raya. -->

Bagaimanapun selepas 100 hari, Kedah yang dipimpin Menteri Besar, Ustaz Azizan Abdul Razak tidak membuat banyak perubahan drastik sesuai dengan keadaan kepimpinan baru dan keadaan semasa yang memerlukan ruang yang lebih untuk memahami selok-belok pentadbiran negeri.

Namun begitu, Ustaz Azizan dan barisan Exco kerajaan negeri mampu menjalankan amanah dengan baik. Ini berdasarkan pengalaman beliau sendiri sebagai wakil rakyat sejak tahun 1995 dan menjadi ketua pembangkang pada tahun 2002 menggantikan Almarhum Ustaz Fadzil Noor pada masa itu.

Berdasarkan pengalaman itulah segala selok-belok pentadbiran kerajaan negeri sudah difahami. Begitu juga beliau dibantu oleh barisan Exco yang mantap dalam pelbagai bidang.

Antara langkah awal yang diambil oleh kerajaan negeri yang baru adalah mengumumkan kajian semula projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang melibatkan kawasan tanah bendang dan penempatan penduduk membabitkan 3000 ekar tanah.

Projek tersebut kini dicadang untuk dipindahkan ke kawasan seluas 4km persegi di tengah laut, setengah kilometer dari kawasan pantai tanpa mengganggu kawasan muara sungai.
Begitu juga beberapa perkara yang dijanjikan dalam manifesto PAS Kedah sudah dilaksanakan atau diumumkan perlaksanaannya.

Dalam manifesto pilihan rayanya, PAS negeri menjanjikan penurunan cukai tanah yang telah dinaikkan kerajaan BN pada tahun 2006 antara 100 peratus hingga 300 peratus.

Baru-baru ini Ustaz Azizan mengumumkan penurunan cukai tanah untuk rakyat Kedah melibatkan tiga kategori tanah antara 25 dan 75 peratus mulai tahun ini.

"Penurunan cukai tanah itu adalah bagi memenuhi sebahagian daripada manifesto pilihan raya dan janji PAS kepada rakyat Kedah," katanya baru-baru ini.


geran tanah

Dalam pada itu, kerajaan negeri juga sedang berusaha menyelesaikan pemberian geran tanah kepada para penduduk di negeri ini yang telah lama memohon.

Buktinya, dalam kunjungan rasmi Menteri Besar ke Baling baru-baru ini, sebahagian penduduk telah menerima geran mereka. Kerajaan juga telah menyelesaikan status tanah di Kampung Baru di Gurun bagi penduduk kaum Cina.

Selain itu, beberapa langkah lain turut diambil bagi merealisasikan janji-janji yang terkandung di dalam manifesto seperti penubuhan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR), pemotongan elaun Menteri Besar dan Exco Kerajaan Negeri dan mengamalkan polisi mesra pelabur.

Kerajaan Kedah juga sedang mengkaji dasar baru tender untuk dijadikan panduan yang mungkin menyaksikan tiada lagi pemberian tender secara runding terus untuk projek-projek kerajaan negeri.

Begitu juga bagi kawasan pembalakan, tiada lagi tender runding terus akan diberikan. Kerajaan akan memperkenalkan sistem tender yang mampu memberikan pulangan hasil yang lebih kepada perbendaharaan.

Selaras dengan perkembangan semasa, ketika negara menghadapi krisis beras baru-baru ini, kerajaan Kedah mendahului Kerajaan Pusat memperkenalkan polisi mengekalkan kawasan tanah untuk penanaman padi di samping berusaha menambahkan lagi kawasan baru untuk tanaman yang menghasilkan makanan utama rakyat negara ini.


keluaran beras

Ustaz Azizan baru-baru ini menegaskan bahawa kerajaan Kedah telah menetapkan polisi tanah sawah tidak boleh dibangunkan demi menjaga hasil keluaran beras negara.

Beliau turut mengumumkan rancangan kerajaan negeri membuka 6000 ekar tanah sawah baru untuk penanaman padi. Azizan membayangkan kemungkinan rancangan tersebut dilaksanakan di beberapa kawasan di daerah Pendang dan Yan selain rancangan meningkatkan kekerapan penanaman tahunan.

"Sepatutnya bendang yang elok kita tanam padi, ni pi tanam besi, buat rumah. Akhirnya beras nak makan pun tak ada. Jadi kita akan perkemaskan lagi tanah bendang kita. Sebab tu kita tetapkan polisi tanah sawah tak boleh dibangunkan.

"Kita batalkan ZIPY di Yan dulu ni pun sebab itu kawasan sawah. Sekarang lepas dua minggu saya bercakap mengenai 'food-security' timbul masalah kekurangan beras,� ujarnya baru-baru ini menjawab persoalan berhubung kekurangan bekalan beras negara.


perkasakan penghulu

Dalam pada itu, dua institusi penting melibatkan rakyat akan diperkasakan semula oleh kerjaan Kedah.

Pertamanya, kerajaan akan memperkasakan semula peranan penghulu yang mana sebelum ini dibayangi oleh peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Kedua, kerajaan negeri akan mengembalikan semula institusi ketua kampung sebagai satu rangkaian tugas yang akan membantu kerajaan dalam agenda pembangunan dan penyampaian maklumat kepada masyarakat.

Baru-baru ini, kerajaan Kedah juga mangambil beberapa langkah bagi memperkasakan institusi pendidikan di negeri ini. Antaranya mengumumkan kenaikan gaji dan elaun guru-guru Sekolah Agama Negeri Kedah setaraf Sistem Saraan Malaysia (SSM). Begitu juga, kerajaan Kedah bersetuju mengambil-alih tanah tapak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pumpong sebagai pampasan kepada mereka yang akan berpindah ke tapak baru.

Turut diumumkan ialah kerajaan hanya akan mengenakan bayaran token RM10 sahaja bagi setiap lot tanah setahun kepada semua jenis sekolah swasta yang tidak berorientasikan keuntungan melibatkan Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Cina dan Tamil selaras dengan pengumuman penurunan cukai tanah.

Selain itu, kerajaan juga sedang mengkaji untuk menaikkan elaun guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di negeri ini.

Kerajaan negeri juga mengamalkan sikap berhemah dalam perbelanjaannya termasuk memotong 30 peratus peruntukan belanja mengurus setiap jabatan yang berjumlah RM10 juta daripada RM484 juta dari bajet keseluruhan.

"Setakat ini kedudukan kewangan kerajaan negeri masih kukuh, terima kasih kepada kerajaan terdahulu," kata Ustaz Azizan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah baru-baru ini.-tajdid

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

JOM EXCHANGE LINK