Tuesday, July 8, 2008

Pemimpin perlu jadi model elak pembaziran

S. M. Mohamed Idris Mon Jun 16, 08 1:58:00 pm MYT

Kenaikan harga minyak tempatan yang ketara akan terus berlaku cepat atau lambat memandangkan kepada kenaikan harga global. -->

Kerajaan sepatutnya perlu memastikan sistem pengangkutan yang murah, mudah dan cepat terlebih dahulu lama sebelum apa yang berlaku pada hari ini. Ini akan mengurangkan beban golongan berpendapatan rendah memandangkan golongan ini membelanjakan sebahagian besar daripada pendapatan mereka yang kecil itu untuk pengangkutan.

Terdapat gesaan supaya rakyat negara ini tidak melakukan pembaziran dan berbelanja berlebihan. Pada masa yang sama rakyat terus berjuang untuk meneruskan hidup seharian. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan turut melakukan peranannya dengan menjadi contoh dan mengurangkan perbelanjaan. Pembaziran perlu dihentikan dengan segera.

Banyak kenderaan rasmi kerajaan menggunakan enjin melebihi 2000 cc. Apabila Perdana Menteri atau mana-mana menteri menghadiri sesuatu majlis, satu rombongan sering mengiringi mereka dan dengan itu menambahkan lagi penggunaan kenderaan. Adakah ini benar-benar diperlukan? Kerajaan perlu mengurangkan penggunaan kenderaan ini memandangkan pada akhirnya rakyatlah yang terpaksa membayar kos perjalanan mereka.

Terdapat juga kes bagi sesetengah orang yang kerap membiarkan enjin mereka terus hidup bersama dengan penghawa dingin yang terus terpasang ketika mereka sedang menunggu atau tidur di dalam kereta. Perkara ini sering dilihat berlaku kepada pemandu kereta orang kenamaan (VIP). Sepatutnya mereka perlu memakir kereta dan mematikan enjinnya.

Kajian semula perlu dilakukan terhadap keperluan kakitangan Kerajaan membuat perjalanan keluar negara. Kerajaan perlu mengurangkan perjalanan ini melainkan dibuktikan bahawa perjalanan itu benar-benar bermanfaat dan diperlukan serta tiada alternatif lain.

Malah jika perjalanan luar negara benar-benar diperlukan, bilangan mereka yang mengikuti rombongan menteri mestilah dihadkan dan menggunakan kelas ekonomi dan bukannya kelas perniagaan.

CAP difahamkan daripada laporan akhbar baru-baru ini terdapat satu lawatan sambil belajar selama seminggu oleh delegasi seramai 15 orang pegawai tinggi termasuk Menteri Wilayah Persekutuan ke kota di Eropah dan satu lagi di Kanada untuk mempelajari cara yang lebih baik untuk menguruskan bandar raya � lawatan ini diluluskan oleh Kabinet. Ia perlu diteliti semula sama ada lawatan ini dengan bilangan delegasi yang ramai ini benar-benar diperlukan.

Pengkritik telah mempersoalkan kenapa delegasi ini perlu ke Eropah untuk mempelajari sesuatu sedangkan mereka boleh ke Singapura, Hong Kong atau Taipei sebagai ganti.
Masalah �cahaya berlebihan� dan �penyejukan berlebihan� pejabat dan kompleks kerajaan, Parlimen serta bangunan rasmi besar lain perlu ditangani.

Amalan membazir lain seperti menukar perabot dan peralatan yang menjadi amalan kerajaan secara tetap serta perolehan yang membazir atau harga alat tulis, makanan, alatan dan barangan lain yang tinggi perlu diteliti semula. Pegawai yang didapati membazirkan dana awam perlu dikenakan tindakan yang sewajarnya.

Kementerian Kewangan sudah pun menasihatkan supaya majlis Kerajaan tidak dijalankan secara besar-besaran dan mewah. Kerajaan perlu membuat susulan bagi memastikan nasihat ini benar-benar dipatuhi.

Sebagai contoh, adalah menjadi amalan biasa bagi Kerajaan mengadakan seminar, persidangan dan mesyuarat di hotel. Perbelanjaan meningkat, penggunaan tenaga juga turut meningkat dan terdapat juga pembaziran makanan. Banyak daripada majlis ini boleh diadakan di bangunan Kerajaan atau dewan orang ramai, dan makanan boleh disediakan secara sederhana dengan kos yang lebih murah.

Kerajaan juga perlu mengotakan janji dengan mengawal atau membatalkan sepenuhnya sebarang projek mega yang bukan kritikal atau perlu; dan sebagai ganti menyalurkan penjimatan ini kepada projek kritikal atau langkah yang boleh memberikan manfaat kepada orang ramai sebagai contoh memperbaiki sistem pengangkutan awam.

Dana yang telah dijimatkan berikutan penarikan balik subsidi boleh disalurkan kepada projek lain seperti memperbanyakkan lagi perumahan kos rendah, memperbaiki kemudahan penjagaan kesihatan, dan kemudahan sekolah.

Kerajaan juga perlu mendedahkan sepenuhnya segala butiran perbelanjaan oleh kerajaan di mana orang ramai boleh melihat dan memahami bagaimana dana kerajaan digunakan. Berikutan dengan itu, kerjasama antara kerajaan dan orang ramai perlu digalakkan bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber dan mengurangkan pembaziran.

Akhir sekali, jika kerajaan dan kakitangannya boleh menjadi contoh dalam melaksanakan penggunaan sumber yang lebih cekap serta mengurangkan pembaziran, ia akan memberikan mesej yang kuat kepada orang ramai. Rakyat akan bertindak dengan positif.

S.M. Mohd Idris ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), aktivis sosial dan alam sekitar.- tajdid_

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

JOM EXCHANGE LINK