Sunday, February 8, 2009

TUMBANGNYA DEMOKRASI DI PERAK..

Kecoh sungguh seminggu dua kebelakangan ni dengan keadaan politik tidak menentu di Perak yang dilanda kekalutan yang MAHA KELAM KABUT. Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak telah ditumbangkan oleh BN yang telah apa yang didistilahkan sebagai mengamalkan politik ‘pintu belakang’.

Kekalutan ini bermula apabila ADUN Bota, Nasarudin telah dengan tiba-tiba melompat parti dari parti UMNO ke PKR pada 25 Januari yang lalu. Dan kemudian, berita dua tiga hari selepas itu telah mengutuk tindakan yang dibuat oleh ADUN Bota terbabit. Dia telah dikecam hebat oleh ‘gerombolan’ (pinjam bahasa Hishamudin Rais - merujuk kepada UMNO) kononnya tidak mempunyai semangat perjuanagan, lupa daratan dan pelbagai lagi cemuhan. Sementara di pihak Pakatan Rakyat pula telah menyambut kedatangan ADUN Bota bagai pahlawan baru balik dari memenangi perang. Masing-masing mengeluarkan kenyataan bahawa selepas ini makin ramai yang akan melompat parti. Kecoh terus BN di Negeri Sembilan dan Melaka.




Dalam masa yang sama,dua ADUN dari PKR telah menghilangkan diri selama 5 hari tanpa dapat dikesan. Harus diingat bahawa mengikut undang-undang, seorang ahli parlimen atau ADUN tidak boleh menghilangkan diri tanpa khabar berita tidak lebih dari 24jam. Lalu Speaker DUN Perak telah menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai ADUN oleh ADUN Behrang dan ADUN Changkat Jering kepada Suruhanjaya Pilihanraya bagi memohon diadakan Pilihanraya Kecil di dua DUN terbabit. Namun tiba-tiba sahaja ADUN Behrang tampil membuat kenyataan akhbar bahawa surat perletakan jawatan beliau adalah tidak sah. Alasannya kerana menghilangkan diri sehingga memaksa MB Perak, Dato’ Seri Ir. Nizar Jamaludin membuat laporan polis berhubung kehilangan mereka berdua, adalah kerana mendapatkan rawatan sakit belakang di Pahang. Ironinya ada ke specialist sakit belakang di Pahang?

Kemudiannya Suruhanjaya Pilihanraya mengisytiharkan bahawa surat perletakan jawatan dua ADUN terbabit adalah tidak sah. Walhal sebenarnya tugas mengesahkan surat terbabit adalah adalah tugas Mahkamah dan bukannya Suruhanjaya Pilihanraya. Dan rupa-rupanya ada seorang lagi ADUN Jelapang dari DAP turut menghilangkan diri sejak dari Tahun Baru Cina lagi. Menambahkan kekecohan di Perak apabila secara tiba-tiba sahaja Pengerusi Perhubungan UMNO dan BN Negeri Perak, Dato’ Seri Tajol Rosli Ghazali telah meletakkan jawatannya dan dipangku oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib Tun Razak. Yang kemudiannya melantik Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang memegang portfolio Agama, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi, sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO dan BN Negeri Perak.



Suasana kecoh ini dihangatkan lagi dengan khabar angin bahawa ketiga-tiga ADUN Pakatan Rakyat itu akan keluar parti. Menyedari keadaan terbabit, dengan penuh rasa tanggungjawab, MB Perak cuba memohon perkenan DYMM Sultan Perak untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak. Dan pada hari yang sama, ketiga-tiga ADUN terbabit telah berjumpa dengan Dato’ Seri Najib dan bertindak keluar parti dengan menjadi ADUN Bebas dan memberi sokongan kepada BN di Putrajaya. Dan apa yang lebih mengejutkan adalah tindakan ADUN Bota yang baru 11 hari melompat parti, membuat turning back kepada UMNO. Kita curiga akan motifnya. Lalu Timbalan Perdana Menteri itu memohon mengadap DYMM Sultan Perak untuk memohon bahawa dibuat kerajaan baru di Perak kerana BN telah memperoleh majoriti mudah.Dan kemudiannya ADUN Pangkor, Dato’ Dr. Zambry telah menangkat sumpah sebagai MB Perak yang ke-11.

Suasana kecoh ini bertambah gamat apabila ribuan rakyat Perak dan penyokong Pakatan Rakyat telah mengadakan protes dan tunjuk perasaan selepas solat jumaat di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar bagi menghalang kenderaan rasmi pegawai istana dan Raja Muda Perak dari memasuki kawasan istana. Lalu terjadilah pergelutan antara penyokong Pakatan Rakyat dan Pasukan Polis Simpanan (FRU) yang membawa kepada penahanan 9 orang penunjuk perasaan. Dan MB Perak pula terus berdegil enggan melepaskan jawatan dan telah ‘memohon derhaka’ dari DYMM Sultan Perak untuk terus menjalankan tugas sebagai MB Perak sehingga mahkamah memutuskan kes ini. Dan kemudiannya Barisan EXCO kerajaaan Pakatan Rakyat negeri Perak telah diminta mengosongkan (baca sebagai dihalau keluar) bilik masing-masing dan diiring keluar oleh Ketua Polis Perak dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Lalu menambah minyak pada suasana panas ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak kerana tidak menggunakan kuasa baginda untuk memanggil pembubaran DUN Perak.

PERSOALANNYA :
1-Selama ini belum pernah terjadi di Malaysia, ahli parlimen atau ADUN dari BN melompat parti ke pembangkang. Yang ada adalah dari pembangkang ke BN. Mengambil contoh pada pilihanraya 1974, kerajaan PAS Terengganu yang baru sahaja memenangi pilihanray telah ditumbangkan apabila 5 orang ADUN melompat ke UMNO. Dan pada pilhanraya 1994, kerajaan PBS di Sabah Yang baru berusia 3 minggu tumbang apabila hampir separuh dari ADUN mereka melompat ke BN sehingga memaksa Presiden PBS, Joseph Pairin Kitingan membawa kes ini ke Mahkamah Rayuan Malaysia di Britain namun gagal dan akhirnya PBS masuk menyertai BN.

2-Ironinya dua ADUN PKR yang bertindak keluar parti dan mengisytiharkan diri mereka sebagai ADUN bebas, adalah sedang dalam perbicaraan kes rasuah dalam projek pembinaan di Bandar Seri Iskandar yang bernilai RM180 juta. Sehingga ada yang mengaku menerima habuan rasuah seks sebagai ‘sedekah’. Dan tak berapa hari lagi keputusan perbicaraan akan diumumkan. Jadi ini menambahkan lagi kecurigaan ramai tentang tujuan sebenar mereka melompat parti. Sehingga mantan Presiden UMNO, Tun Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan bahawa tidak sepatutnya BN menerima orang yang ‘tidak bersih’ ini. Dan kalaulah mereka ini dibebaskan atau digugurkan kes, maka apakah tanggapan rakyat tentang pengarug pemerintah terhadap sistem kehakiman?

3-Dan pada awal bulan Mac ini, akan diadakan Pemilihan Agung UMNO yang telah tertangguh sejak September lalu. Dan Timbalan Presiden UMNO pastinya mahu menaikkan semula nama beliau setelah dikalahkan dalam dua Pilihanraya Kecil di Permatang Pauh dan di Kuala Terengganu. Dan setelah parti UMNO dilanda kemelut politik wang (baca sebagai rasuah) sehingga memaksa Suruhanjaya Pencegahan Rasua Malaysia, SPRM (dulunya BPR) turut campur tangan apabila kes ini tak terbendung lagi. Ini membuka pekung didada UMNO yang semakin dihimpit krisis kepimpinan yang baik dan demam belum kebah akibat kehilangan banyak kerusi dalam PRU-12 yang lalu.

4-Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak ditubuhkan setelah apabila ADUN-ADUN dari DAP (18 kerusi), PKR (7 kerusi) dan PAS (6 kerusi) yang membentuk majoriti mudah, menewaskan BN dengan UMNO (27 kerusi) dan MCA (1 kerusi). Majoriti mudah 31-28. Ini adalah hasil sokongan penuh rakyat Perak yang bukan melayu kepada pembangkang. Sekaligus keputusan DYMM Sultan Perak ini menafikan suara rakyat bukan melayu Perak. Harus diingat bahawa dalam PRU-12 lalu,rakyat bukan melayu telah menolak BN lalu memberi kemenangan agak besar kepada PAKATAN RAKYAT. Dan pada PRK Permatang Pauh, rakyat melayu dan cina telah memberi kemenangan besar kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim sehingga membolehkan mantan Timbalan Perdana Malaysia itu melangkah semula ke Bangunan Parlimen Malaysia dan menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen. Dan dalam PRK Kuala Terengganu yang lalu rakyat Cina telah memberi undi mereka kepada PAS.

5-Mengapa gerombolan tak mahu mengadakan pilihanraya semula di DUN Perak? Kerana harus diingat BN tewas di Perak sebelum kenaikan harga minyak dan harga barang. Jadi kalau diadakan pilihanraya dalam keadaan suasana semasa ini, ada kemungkinan BN akan tewas dengan majoriti kerusi yang lebih tinggi kerana ada 10 DUN yang dimengani BN dalam PRU-12 yang lalu telah mendapat undi majoriti tidak melebihi 1000 undi.

6-Penafian undi dan suara rakyat India di Perak kerana tidak ada suara rakyat india dalam barisan exco BN nanti kerana semua calon MIC telah dikalahkan dalam PRU-12 yang lalu. Sedangkan dalam kerajaan Pakatan Rakyat ada 3 orang. 2 orang exco,masing-masing dari DAP dan PKR dan seorang speaker DUN Perak dari DAP. Jadi bagaimana BN Perak mahu mengisi kelompangan ini.

7-Tidak timbul isu menderhaka kepada sultan dan raja-raja melayu kerana tindakan Pakatan Rakyat adalah hanya menuntut hak mereka. Kita menjunjung konsep Kedaulatan Raja Berperlembagaan yang membawa maksud raja juga turut tertakluk kepada perlembagaan. Jadi biarlah mahkamah yang menentukan kes ini. Harus diingat bagaimana pada tahun 1988 berlaku krisis kehakiman dan pada tahun 1990 berlaku krisis antara UMNO dan Raja-Raja Melayu yang menyaksikan institusi diraja telah dicabut kekebalan mereka. Ini menyaksikan UMNO terpecah kepada dua iaitu team A dan team B yang membawa kepada penubuhan Parti Semangat Melayu 46 (Semangat 46) yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah dan timbalannya Dato’ Seri Rais Yatim. Dan Raja-Raja Melayu telah memberi sokongan kepada S46 ini sehingga membolehkan pembangkang merampas Kelantan dalam PRU tahun 1990 kerana Tengku Razaleigh adalah berdarah keturunan raja.

Seterusnya sama-sama kita tunggu dan lihat apa akan terjadi kepada kerajaan negeri Perak.Kerana rakyat pastnya sedang memerhatikan dan seterusnya akan membuat keputusan dalam PRK Pensiangan, Sabah bilamana mahkamah mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding calon BN sebagai tidak sah. Dalam dalam pilihanraya negeri Sarawak yang bakal menghadapai pilihanraya pada tahun 2011. Dan seterusnya dalam PRU-13 nanti. Sama-sama kita hayati Firman Allah ini :-

“Katakanlah Ya Allah pemilik kekuasaan (kerajaan) alam buana, Engkau memberi kekuasaan kepada siapa yang Engkau suka, Engkau merampas kekuasaan itu dari siapa sahaja yang Engkau mahu, Engkau berkuasa memuliakan dan menghinakan siapa yang Engkau mahu, Ditangan Mu (wahai Allah) segala Kebaikan dan Kekayaan, Sesungguhnya Engkau berkuasa untuk berbuat apa sahaja terhadap sesiapa sahaja, Engkau menabirkan siang dengan malam, Dan malam pula Engkau menabirkannya dengan siang, Engkau menerbitkan suatu yang hidup dari suatu yang mati, sebagaimana Engkau melahirkan yang mati dari sesuatu yang hidup, Engkau memberi rezeki tanpa berhitung kepada siapa sahaja yang Engkau mahu”

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

JOM EXCHANGE LINK