Sunday, March 29, 2009

SUBUH YANG TERAKHIR.. SAAT KEWAFATAN BAGINDA NABI MUHAMMAD

Sambutan maulidurasul sememangnya sering dirayakan oleh kita umat Islam di Malaysia. Dan seringkali juga kita dengar saban tahun irama selawat diubah-ubah. Dari slow kepada yang lebih berirama pantas dan sudah macam-macam lagi versi yang didengar kita. Namun di sebalik keghairahan itu, tahukah kita bagaimana wafatnya Baginda nabi Muhammad S.A.W? Ingatkah kita bilamana di saat sakaratul maut (sakitnya mati) apa yang di sebut Baginda Nabi hanyalah ‘UMMATI.. UMMATI’.. ‘SOLATI.. SOLATI’ DAN “AN-NISA’.. AN-NISA’”? Berapa ramai dari kita pada hari ini yang mengamalkan sunnah Nabi besar kita Sallahu ‘Alaihi Wassalam?

Sebuah hadis nabi yang bermaksud.
“Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, tidak akan sesat selama mana kamu semua berpegang teguh kepada keduanya, iaitulah Kitabullah dan Sunnahku”


Ketahuilah para sahabatku bahawasanya ulama berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran nabi tapi jumhur ulama’ bersepakat bahawa hari wafatnya nabi adalah pada waktu Dhuha pagi isnin, 12 Rabi’ul Awal. Bermakna sahabat-sahabatku, pada hari kita meraikan kelahiran Baginda Nabi Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wassalam, kita sebenarnya meraikan juga hari kewafatan Baginda.

Rentetan peristiwa kewafatan nabi bermula semenjak dari Hujjatuk Wida’ yang dikerjakan oleh baginda beberapa bulan sebelum baginda wafat. Dalam Khutbatul Wida’ yang terkenal itu Baginda Nabi Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wassalam berpesan kepada enam perkara:
a) Darah kamu dan harta kamu tidak boleh dicerobohi
b) Benda-benda yang bersifat Jahliyyah ada dibawah tapak kaki aku.
c) Ada 12 bulan dalam setahun
d) Berlaku baik kepada wanita, kerana kamu mengambil mereka dengan amanah Allah.
e) Berpegang teguhlah kepada al-Quran dan as-Sunnah
f) Dengar dan taatlah kepada pemimpin kamu walaupun dia dari kalangan hamba Habsyi, selama mana dia menegakkan al-Quran dan as-Sunnah

Dan ketika itu juga turun ayat 3 dari surah Al-Maidah
“…. Dan pada hari ini telah aku sempurnakan untuk kamu agamamu dan telah aku cukupkan nikmat-Ku bagimu dan aku redha Islam sebagai agamamu… “


Pada waktu maghrib hari khamis, 5 hari sebelum wafat ketika itu saat nabi kita Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wassalam sakit yang amat sangat, sampai terpaksa dipapah ke masjid. Namun yang menghairankan nabi telah membacakan surah yang panjang dan rupa-rupanya itulah terakhir kali Para Sahabat Ridwanullah A’laihim Ajmain solat berjemaah bersama nabi. Nabi solat dalam keadaan duduk dan lirih sekali suaranya dan Abu Bakar as-Siddiq solat di belakang nabi dan menguatkan suara untuk rukuk dan sebagainya.

Kemudiannya saat tiba waktu isyak, nabi gagahkan juga nak jadi imam untuk solat namun pengsan Nabi kita sahabat-sahabat. Kemudian setelah baginda sedar dan cuba untuk berdiri nak imamkan solat, nabi pengsan semula. Sehinggalah akhirnya nabi memerintahkan Abu Bakar as-Siddiq menjadi imam dan bermula dari saat itulah Abu Bakar menjadi imam sampailah wafatnya nabi Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wassalam..

Pada subuh pagi isnin, nabi singkap tirai rumah nabi yang memisahkan Baginda dengan saf pertama masjid Nabawi. Para sahabat melonjak gembira sambil bertahmid ‘Alhamdulillah” dan bertasbih “Subhanallah” melihat nabi dalam keadaan segar bugar dan berdiri tanpa perlu dipapah siapa-siapa. Abu Bakar yang sudah bersiap mahu menjadi imam berundur ke belakang bagi memberi peluang kepada Rasulullah menjadi imam. Namun baginda mengakat tangan dan mengisyaratkan Abu Bakar sahajalah yang menjadi imam.. rupa-rupanya sahabatku sekalian, itulah saat terakhir kali Para Shabat Ridwanullah A’laihim Ajmain melihat raut wajah nabi dan mereka kemudiannya berjalan pulang ke rumah masing-masing dalam keadaan gembira kerana menyangka Baginda Nabi sudah sembuh.

Tetapi sahabatku sekalian, saat waktu Dhuha menjelang atas pangkuan riba Saidatina A’isyah RAdiallahu ‘Anha datanglah malaikat maut mencabut roh Rasulullah Sallahu ‘Alaihi Wassalam. Sebelum itu anak lelaki kepada Saidina Abu Bakar as-Siddiq dan juga adik kepada Saidatina A’isyah telah datang ke rumah baginda sambil membawa siwak. Lalu A’isyah menanyakan kepada Rasullah samada baginda nak bersiwak, kemudian Nabi mengangguk dan menyiwakkan nabi, tetapi kayu sugi itu agak keras, lalu A’isyah memamah kayu sugi itu dan A’isyah menyebut sangat nikmat saat ketika air liur nabi bercampur air liurnya. Begitulah nabi masih lagi romantic saat sakaratul maut.

Kemudian Nabi memandang lama ke bumbung rumahnya dan menyebut Ummati, solati, dan an-nisa’ dan kemudiannya wafatlah baginda Nabi. Terpisahlah roh dari jasad manusia agung itu. Namun A’isyah menyangka nabi pengsan, lalu datang Saidina Umar dan seorang sahabat bernama Mughirah. Setelah diperiksa oleh Mughirah dan menyatakan bahawa Nabi telah wafat, lalu mengamuk Umar al-Khatta dan mencabut pedangnya seraya berkata “Sesiapa yang mengatakan nabi Sallahu ‘Alaihi Wassalam wafat, maka akan aku pancungnya”.

Mereka mendakwa nabi hanya pergi menemui Allah sekejap dan akan kembali sepertimana nabi Musa ketika bermunajat selama 40 hari di Bukit Thursina. Kemudian setelah di beritahu kepada Abu Bakar, dia datang berlari-lari ke rumah nabi lalu menenangkan Umar dan kumpulannya. Dan lalu berkata:

“Siapa yang menyembah Muhammad, ketahuilah bahawa Muhammad telah mati. TETAPI sesiapa yang menyembah Allah, Allah itu hidup dan tidak mati-mati”


Abu Bakar lalu membacakan ayat 144 dari surah Ali Imran

“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul; sebelumnya telah berlalu beberapa Rasul. Apakah jika di awafat atau dibunuh, kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barangsiapa berbalik ke belakang, maka ia tidak akan merugikan Allah sedikitpun. Allah akan memberi balasan kepada orang yang bersyukur”

Dan Abu Bakar mebaca lagi ayat 185 dari surah yang sama

“Dan tiap-tiap yang hidup pasti akan merasai mati”

Dan beberapa ayat lagi telah dibacakan oleh Saidina Abu Bakar. Lalu menangislah Umar dan para sahabat dan berkata “sesungguhnya bagaikan kami tidak pernah mendengar ayat ini dibacakan dahulu. Setelah ditenteramkan oleh Abu Bakar semua sahabatpun melaksanakan wasiat nabi iaitu menyerahkan semua hartanya untuk sedekah.

Nabi juga berwasiat bahawa orang yang memandikan jasadnya adalah sepupunya Saidina Ali bin Abi Talib dan bapa saudaranya Saidina Abbas bin Abdul Mutalib. Sehingga Saidina Ali yang sedang bercucuran air mata ketika memandikan jasad nabi berkata “Sesungguhnya jasad kamu wangi wahai Rasulullah walaupun kau telah tiada”. Dan kemudian nabi berwasiat juga jangan segera disolatkan jenazahnya kerana Jibril dan para malaikat akan turun untuk menyolatkan jenazah baginda dan kemudian barulah para sahabat boleh menyolatkan jenazah nabi. Setelah tiga hari barulah jasad baginda nabi dikebumikan kerana orang ramai datang dari seluruh pelusuk tanah arab untuk menyolatkan jenazah baginda, tidak putus-putus.

Begitulah sahabat-sahabat nabi kita Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wassalam, manusia paling agung di muka bumi ini, wafatnya hanya bertemankan isterinya. Namun begitu seluruh isi langit dan bumi menangisi pemergiannya sehingga ada ulama’ mengatkan ‘sesungguhnya tidak ada hari lain yang lebih menyedihkan semenjak dunia ini dicipta selain dari hari wafatnya Junjungan besar kita Muhammad Sallahu ‘Alaihi Wassalam.

Sama-samalah kita memperbanyakkan selawat ke atas baginda nabi, semoga kita termasuk dalam golongan yang akan mendapat manfaat naungan syafaat nabi di akhirat nanti. Di hari yang tiada berguna harta benda dan anak pinak.

ALLAHUMMA SOLLI ‘ALA MUHAMMAD WA ‘ALA ALI SAYYIDINA MUHAMMAD..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

JOM EXCHANGE LINK